Petaling Jaya City menutup tirai saingan Liga Super musim ini dengan kemenangan selepas mengejutkan Selangor 2-1 di Stadium MBPJ semalam.

Bagi pengendali PJ City, P. Maniam, musim ini sangat mencabar buat pasukannya dan dia berbangga dengan pencapaian pasukannya yang akan kekal beraksi dalam Liga Super musim hadapan biarpun menggunakan khidmat 100 peratus pemain tempatan.

"Sememangnya ia adalah landasan PJ City iaitu memberikan peluang untuk pemain tempatan beraksi. Kami mengetengahkan kualiti dan kemampuan barisan pemain muda untuk turun beraksi," kata Maniam.

Sementara itu, kekalahan yang dialami Selangor meranapkan impian Gergasi Merah untuk menamatkan cabaran di tangga keempat liga musim ini.

Selangor pada perlawanan ini turun tanpa kelibat Oliver Buff dan Mukhairi Ajmal dan ia menjejaskan rentak pasukan itu yang dilihat pincang terutamanya di bahagian tengah.

"Kami perlu terus memberikan persembahan terbaik lagi dan lagi namun Selangor masih lagi kekurangan peluang dalam perlawanan ini," kata ketua jurulatih Selangor, Karsten Nietzel.