Kemenangan 2-1 ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) membawa makna lebih besar buat Selangor meskipun lawan meraikan kejayaan menjulang kejuaraan Liga Super buat kali keempat berturut-turut hasil bantuan kekalahan Kedah kepada Pahang, malam tadi.

Pengendali Selangor, P. Maniam, cukup berbangga dengan kejayaan anak buahnya yang cemerlang mengotakan janji menafikan keciciran sebarang mata ketika bertemu JDT di Stadium Selayang.

Aksi Red Giants memberi kepuasan kepada pengendali berusia 49 tahun itu yang melabelkan semua anak buahnya beraksi pada tahap terbaik mereka.

Dia turut memuji prestasi pemain muda, Muhammad Syahmi Safari, yang bijak dalam mencari ruang jaringan buat Selangor.

"Kita dapat lihat, Syahmi sangat bijak dalam mencari ruang. Dia yang menghasilkan gol tersebut. Disebabkan kebijaksanaannya, Amri (Yahyah) berjaya meledak gol," ujar Maniam.

Sementara itu, pengendali JDT, Ulisses Morais, berasa lega selepas pasukannya dinobat juara meskipun tewas di laman lawan.

Bagaimanapun, Morais sempat menuding jari kepada Junior Eldstal yang diperincikannya sebagai punca kepada gol kemenangan Selangor.

"Dia tidak faham dengan arahan yang diberikan. Itu adalah 12 minit yang sukar dan malangnya dalam tempoh itu, Selangor berjaya memastikan dua jaringan yang membawa kepada kutipan tiga mata buat mereka," ujarnya.