SENEGAL 3 BENIN 1

Sadio Mane menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman buat Senegal selepas melakar hatrik ketika menewaskan Benin 3-1 dalam pusingan kelayakan Piala Negara-Negara Afrika awal pagi tadi.

Penyerang Liverpool itu menyempurnakan dua sepakan penalti yang mengapit satu lagi jaringannya dalam perlawanan di Dakar itu untuk kini merekodkan 32 gol daripada 90 penampilan buat negaranya.

Tiga jaringan Mane itu juga menyaksikan dia mengatasi rekod 31 gol Henri Camara buat pasukan juara Afrika berkenaan.

Pemain berusia 30 tahun itu memecahkan rekod berkenaan pada ketika spekulasi mengenai masa depannya sedang hangat diperkatakan susulan satu lagi kempen menakjubkan bersama pasukan bimbingan Jurgen Klopp, Liverpool.

Semalam, penyerang itu berkata bahawa dia akan melakukan perkara yang dimahukan rakyat Senegal selepas terdapat laporan bahawa dia kian hampir untuk menyertai Bayern Munich.