Harapan Liverpool beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL) menerima tamparan hebat apabila pengurus, Jurgen Klopp, mendedahkan Sadio Mane tidak akan beraksi sehingga penghujung musim ini.

Mane bakal menjalani pembedadahan lutut selepas mengalami kecederaan ketika bertembung dengan Leighton Baines dalam aksi 'derby' Merseyside, minggu lalu.

Penyerang itu telah digantikan oleh Divock Origi selepas tidak boleh meneruskan perlawanan.

Mane merupakan pemain yang berpengaruh buat Liverpool musim ini, meledak 13 gol dan lima bantuan jaringan dalam 27 penampilan.

"Musim Mane sudah berakhir," kata Klopp.

"Mustahil buat dirinya kembali beraksi musim ini. Dia perlu berehat panjang sehingga musim hadapan."

Ketiadaannya dalam tujuh perlawanan terakhir dalam usaha Liverpool untuk kembali ke kancah bola sepak Eropah menjadi sukar kerana terpaksa berdepan dengan pasukan seperti Tottenham, Manchester City, Arsenal dam Manchester United.

Menjelang perlawanan beredpan Stoke City, The Reds berkemungkinan tanpa kelibat beberapa tonggak utama seperti Jordan Henderson dan Adam Lallana, Philippe Coutinho dan Daniel Sturridge.

"Coutinho masih belum sembuh daripada demam, dia tidak menjalani latihan bersama kami. Dia sudah semakin baik tetapi kami mahu memberikan masa kepadanya.

"Lallana dan Henderson masih belum pulih daripada kecederaan manakala Sturridge sudah bersama kami tetapi kami akan terus menilai keadaannya."