Mario Mandzukic dilaporkan sudah bersedia untuk kembali beraksi buat Juventus menjelang aksi final Piala Itali pada awal pagi Khamis ini.

Pemain skuad kebangsaan Croatia itu menerima beberapa jahitan di bahagian buku lali selepas menerima terjahan kasar daripada Matias Vecino sewaktu bertemu Inter Milan bulan lalu, sekali gus terlepas beraksi semasa Juve menundukkan Bologna 3-1, hujung minggu lalu.

Pada mulanya, Mandzukic dilihat seperti bakal terlepas baki keseluruhan aksi musim ini sehingga menyebabkan kelibatnya dalam Piala Dunia juga menjadi tanda tanya.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu kembali dalam sesi latihan pasukan yang turut menampilkan Stefano Sturaro dan Mattia De Sciglio semalam.

Juve kini berusaha untuk menjulang trofi Piala Itali buat kali keempat berturut-turut dan memandangkan kejuaraan Scudetto sudah hampir pasti menjadi milik mereka, pemain tengah, Miralem Pjanic, menyifatkan kejayaan mengutip satu lagi piala domestik sebagai kunci utama buat The Old Lady.

“Kami benar-benar mahu memenangi setiap trofi yang ada pada tahun ini,” katanya kepada laman web rasmi Juventus.

“Malangnya, kami tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah tetapi berada pada kedudukan terbaik Serie A dan menjulang Piala Itali menjadi salah satu sasaran kami.

“Kami meraih pencapaian hebat, di mana kami sedang cuba mendapatkan ganjaran atas segala usaha yang dilakukan tetapi masa akan menentukannya.

“Pujian harus diberikan kepada seluruh pasukan, lima pemain yang bakal menjulang Scudetto buat kali ketujuh, menjadi tulang belakang pasukan serta pemain baru yang menyesuaikan diri dengan bagus demi mencapai sasaran,” katanya.