Pengendali Zenit St Petersburg, Roberto Mancini, tidak berasakan pasukannya layak untuk memenangi Liga Europa walaupun menyingkirkan Celtic dalam pusingan 32 terakhir.

Jaringan Callum McGregor memberikan juara Scotland itu kelebihan untuk bertandang ke Russia tetapi Zenit menamatkan harapan mereka dengan kemenangan 3-0, awal pagi tadi.

Branislav Ivanovic meraikan ulang tahun ke-34 tahun dengan gol tandukan untuk menyamakan kedudukan menerusi agregat sebelum Daler Kuzyaev dan Aleksandr Kokorin mengesahkan kemenangan buat Zenit.

Walaupun gergasi Russia itu memenangi kejohanan pada musim 2007/08, namun Mancini menyifatkan kelemahan pengalaman akan menyekat laluan anak buahnya.

"Saya tidak rasa kami mampu memenanginya kerana skuad kami sangat muda dan banyak pasukan lain yang lebih hebat.

"Kami bermain lebih baik berbanding Celtic tetapi aksi di Glasgow lebih bagus. Seluruh pasukan tampak penat selepas 70 minit dan itu perkara normal," kata Mancini.

Kekalahan di Russia bermakna Celtic gagal menempatkan diri dalam kelompok 16 terakhir sejak musim 2012/13 dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah, membuatkan pengurus, Brendan Rodgers, amat kecewa.

"Prestasi yang tidak menentu dalam saingan Eropah membuatkan kami berasa kecewa.

"Kami menunjukkan aksi memukau pada minggu lalu, dapat menyerang dan bertahan dengan baik tetapi aksi dalam babak pertama hari ini menunjukkan kami tidak begitu agresif," ujar Rodgers.