Roberto Mancini berharap pemain tengah AS Roma, Nicolo Zaniolo, mampu menjadi pemain penting buat skuad kebangsaan Itali.

Zaniolo sepatutnya terlepas saingan Euro 2020 gara-gara kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) pada januari lalu tetapi pemain berusia 20 tahun itu dapat memanfaatkan penundaan kejohanan berkenaan ke tahun depan berikutan kebimbangan pandemik Covid-19.

Pemain yang menjadi tumpuan ramai itu menjaringkan dua gol daripada lima penampilannya bersama Itali dan ketua jurulatih, Mancini, percaya dia mampu berkembangan menjadi pemain utama buat pasukan kebangsaannya.

"Zaniolo mungkin menjadi pemain yang amat penting. Dia masih muda, dia akan mempunyai setahun lagi untuk memperbaiki diri," katanya kepada Rai Sport.

"Harapan saya adalah untuk memiliki kesemua pemain yang dapat diturunkan dan berdepan kesukaran untuk membuat pemilihan.

"Saya fikir pasukan ini boleh meningkat. Kami melalui banyak perlawanan, bermain dengan baik dan memenanginya dan disitulah terdapat keghairahannya.

"Amat baik jika kami dapat beraksi ketika ini," katanya.

Mancini membantu memulihkan Itali sejak mengambil alih pasukan itu pada 2018, dengan merekodkan 13 kemenangan daripada 19 perlawanan di bawah kendaliannya.

Bekas jurulatih Inter Milan dan Manchester City itu menjadikan Itali sebagai salah satu pasukan pilihan untuk memenangi Euro 2020, namun menyedari penundaan berkenaan akan mengubah beberapa pekara.

"Terdapat kesukaran kerana ia merupakan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Bukan mudah untuk memulakannya semula," tambahnya.