Roberto Mancini berwaspada dengan prospek Piala Dunia yang mungkin dilangsungkan setiap dua tahun dan ketua jurulatih yang masih segar membantu Itali menjulang Euro 2020 itu memohon perbincangan lanjut diadakan terhadap cadangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berkenaan.

Kalendar perlawanan antarabangsa semasa lelaki bakal berakhir pada 2024 dan bekas pengurus Arsenal, Arsene Wenger, sedang berusaha membentuk jadual baru dalam peranannya sebagai ketua pembangunan bola sepak global FIFA.

Bagaimanapun, rancangan Wenger itu mendapat bantahan hebat daripada Persatuan Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) dan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Piala Dunia secara tradisinya merupakan kejohanan yang diadakan setiap empat tahun sekali dan timbul kegusaran bahawa pemain akan terbeban dan nilai kejohanan berprestij itu akan menurun jika ia diadakan secara dwitahunan.

Mancini tidak menentang cadangan itu secara terang-terangan tetapi menuntut kajian menyeluruh dibuat terlebih dahulu.

"Piala Dunia setiap dua tahun adalah satu cadangan yang harus dinilai," katanya yang dipetik secara meluas di media Itali.

"Piala Dunia sangat menarik kerana ia hadir setiap empat tahun sekali. Sekiranya anda beraksi setiap dua tahun, ini bermakna ia akan bertembung dengan Kejohanan Euro. Saya tidak pasti, kami perlu membincangkannya."



Buat masa ini, Mancini ingin melanjutkan kejayaan pasukannya selepas menjuarai Euro baru-baru ini yang menyaksikan mereka mengalahkan England menerusi penentuan penalti dalam final untuk dinobatkan sebagai raja di benua itu.

Kejayaan bekas pengurus Inter dan Manchester City itu mengundang perhatian banyak kelab, namun dia menegaskan komitmennya tetap kepada Itali menjelang Piala Dunia di Qatar tahun depan, sekali gus menolak untuk kembali mengemudi kelab sebelum temasya berkenaan.

Itali mendekati tempat ke pusingan akhir dengan mendahului Kumpulan C selepas mencatat empat kemenangan dan dua seri, bahkan melebarkan rekod tanpa kalah mereka kepada 37 perlawanan.

"Kembali melatih kelab? Sekarang ada Piala Dunia dan kemudian kita lihat," katanya.

"Kami perlu terus fokus kepada Piala Dunia, kami harus menjamin kelayakan dengan segera dan kami juga harus berusaha memenangi Liga Negara-Negara.

"Saya tidak memikirkan tawaran kelab dan perhatian saya tertumpu kepada pasukan kebangsaan. Melatih pasukan kebangsaan adalah perkara terbaik."