Pengurus Itali, Roberto Mancini, menuntut persembahan yang lebih baik daripada anak buahnya selepas barisan bimbingannya itu tewas 1-0 di tangan Portugal dalam aksi Liga Negara-Negara UEFA, awal pagi tadi.

Mancini menurunkan dua penyerang utama dalam saingan di Lisbon, namun Simone Zaza dan Ciro Immobile tampak gagal memberikan impak kepada pasukan tatkala Itali dilihat lebih banyak mendominasi permainan.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Andre Silva dalam babak kedua, memberikan kemenangan 1-0 buat Fernando Santos dan anak-anak buahnya.

Kekalahan itu bermakna Itali kini hanya mencatat satu mata hasil daripada dua perlawanan, membuatkan Mancini terpaksa menelan hakikat akan ketumpulan barisan depan.

"Kami banyak melakukan kesilapan dan harus cuba untuk memperbaikinya," kata Mancini.

"Namun, pemain-pemain memberikan segala yang mampu. Kami harus menjaringkan gol untuk meraih kemenangan, jadi penyelesaian harus didapatkan serta menambah usaha dalam setiap aspek serangan.

"Dalam babak pertama, kami lebih banyak menguasai bola menerusi kedua-dua penyerang. Memandangkan Immobile dan Zaza dilihat mampu beraksi sesama mereka, ia boleh menjadi pilihan penting."

Mancini melakukan sembilan pertukaran berbanding barisan yang seri 1-1 berdepan Poland sebelum ini tetapi dia mempertahankan tindakan itu sambil menegaskan satu-satunya cara untuk Itali terus berkembang ialah apabila memberikan mereka peluang beraksi.

"Kami harus memberi ruang buat mereka," ujar Mancini.

"Apabila pemain masih muda dan baru tiba pada tahap ini, dia bakal menerima beberapa masalah dan kami sedar ia akan berlaku.

"Sebaik sahaja tahap kecergasan, ia memberi tanda positif tetapi isu utama adalah memastikan masalah ketumpulan di depan gawang dapat diperbaiki."