Roberto Mancini dan Leonardo Bonucci mengakui terdapat ruang untuk diperbaiki Itali, di sebalik memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dengan kemenangan 2-0 ke atas Ireland Utara.

Domenico Berardi meledak gol ketiga di pentas antarabangsa dan Ciro Immobile menggandakan kelebihan Azzurri dalam aksi Kumpulan C di Stadio Ennio Tardini.

Selepas memperoleh lima percubaan tepat dalam separuh masa pertama, bagaimanapun Itali menurunkan tempo permainan dalam separuh masa kedua sehingga gagal menguji Bailey Peacock-Farrell.

Ireland Utara hampir meraih jaringan menerusi Gavin Whyte, Michael Smith dan Steven Davis.

Ia merupakan kemenangan keempat berturut-turut Itali tanpa dibolosi dan melanjutkan rekod tanpa kalah dalam 23 perlawanan.

Tetapi Mancini tidak berpuas hati dengan aksi pertama di Parma.


"Selepas empat bulan, babak pertama sangat bagus dan kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol," katanya kepada Rai Sport.

"Kami perlu melihat semula babak kedua bersama pasukan, kerana kami mesti melakukan yang lebih baik daripada itu. Separuh masa pertama adalah sempurna dan kami semestinya mempunyai lebih banyak gol .

"Mungkin kami mula mengambil banyak sentuhan setelah rehat dan bola bergerak perlahan, tetapi itu boleh berlaku setelah empat bulan tidak bertemu satu sama lain.

"Kami mungkin menang dengan margin yang lebih besar pada babak pertama, tetapi kami tahu Ireland Utara adalah pasukan fizikal yang boleh menimbulkan masalah kepada kami. Kami melakukan terlalu banyak kesilapan."

Bonucci pula berkata, "Penting untuk tidak dibolosi, walaupun melakukan kesilapan dalam separuh masa kedua dan perlu memperbaikinya, terutama ketika mengawal permainan.

"Tetapi yang selalu saya gemari sejak Mancini mengambil alih adalah sikap. Kami menghadapi semua orang tanpa rasa gementar, kami tetap bersemangat dan pergi ke sana untuk memenangi setiap perlawanan."