Ole Gunnar Solskjaer menegaskan bahawa pasukannya, Manchester United, tidak akan terbawa-bawa selepas membelasah Southampton 9-0 menjelang perlawanan menentang Everton di laman sendiri awal pagi esok.

Skuad The Red Devils itu memalukan The Saints di Old Trafford, Rabu lalu walaupun kemenangan besar mereka itu turut disumbangkan oleh kad merah yang dilayangkan kepada Alexandre Jankewitz seawal minit kedua sebelum pasukan pelawat itu kehilangan seorang lagi pemain ketika kedudukan 6-0 apabila Jan Bednarek turut diarahkan keluar padang -- kad merah itu kemudian dibatalkan menerusi proses rayuan.

Ia merupakan kebangkitan paling ideal buat United selepas tewas mengejut kepada Sheffield United di laman sendiri dan terikat tanpa jaringan dengan Arsenal sebelum perlawanan itu.

Pengurus United, Solskjaer, yang mengesahkan Edinson Cavani dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan buku lali ketika menentang Southampton, berkata fokus pasukannya kini hanya untuk perlawanan menentang Everton selepas mencatatkan kemenangan besar yang turut menyamai rekod gol tertinggi kelab itu.

"Adakalanya anda perlu menghadapi perkara baik dengan baik dan perkara buruk dengan buruk.

"Apa yang pemain kami akan ambil daripada perlawanan itu adalah kami melakukan perkara yang betul. Tiada sesiapa akan terbawa-bawa dengan jumlah jaringan itu, kami berdepan 10 pemain sepanjang perlawanan.

"Ia menjatuhkan semangat mereka apabila kehilangan seorang pemain. Apabila kami mendahului 2-0, perlawanan itu sudah tamat buat mereka. Kami tidak berniat dalam perlawanan itu, fokusnya kini adalah untuk perlawanan dengan Everton," katanya.


United hanya memenangi satu daripada enam perlawanan liga pertama di laman sendiri musim ini tetapi kini mengungguli empat daripada lima perlawanan liga terakhir di Old Trafford.

Bagi Solskjaer, ketekalan merupakan perkara utama.

"Ketekalan amat penting, kami bermain dengan amat baik di laman lawan dan kini bangkit selepas tewas kepada Sheffield United.

"Kami sudahpun bermula, harap-harap kami dapat mendapatkan sedikit momentum. Kami sedar ia bukan perkara mudah utuk bermain setiap dua atau tiga hari. Jika kami dapat bermain dengan ketekalan, meningkatkan semangat kami, siapa tahu?

"Ia tentang melakukan perkara yang betul, mencipta tabiat yang baik di padang latihan setiap hari. Perlawanan menentang Southampton membenarkan kami untuk berlatih melakukan serangan ke atas 10 pemain mereka yang kental bertahan.

"Selepas menjaringkan satu atau dua gol, anda sudah boleh bertenang kerana sedar keputusan akan memihak anda," tambahnya.