Manchester United tak untung besar jersi Cristiano Ronaldo laris

Shaiful Shamsudin
September 6, 2021 03:18 MYT
Jualan jersi Cristiano Ronaldo mungkin melepasi angka setengah juta pembeli tetapi secara dasarnya, Manchester United hanya mencatat keuntungan rendah.
Kepulangan bintang Portugal itu disambut penuh meriah oleh peminat kelab yang berpangkalan di Old Trafford berkenaan, apatah lagi dia bakal menyarung jersi nombor tujuh yang dianggap keramat, secara tidak langsung menghangatkan lagi penjualan jersi pemilik lima Ballon d'Or tersebut.
12 jam selepas dilancarkan semalam, jersi replikanya terjual sebanyak 406,250 helai bagi mengatasi penjualan jersi milik bintang baru Manchester City, Jack Grealish.
Bahkan, pengeluar mengaku berdepan kesulitan untuk memenuhi permintaan tinggi ketika ini.
Lantas, keuntungan itu sahaja dianggap mampu menampung yuran perpindahan dan gaji tingginya apabila menjana pendapatan £32.5j (RM186.6j) buat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan.
Begitupun, perjanjian dengan jenama Adidas bernilai £750 juta (RM4.3 bilion) yang dimeterai pada 2014 menyaksikan mereka hanya menikmati 10 peratus daripada keuntungan itu.
Manchester United dilaporkan akan menikmati £5 (RM28.7) sehelai dengan keuntungan bersih mencecah £2j (RM11.4j) di sebalik seragam yang berharga di antara £80 (RM459.4) hingga £110 (RM631.6) itu.
Apapun, nama gah Ronaldo tetap meningkatkan nilai dan menjana keuntungan kelab menerusi beberapa kerjasama dengan pelbagai jenama dan penajaan lain selepas ini.

Hot off the press ?#MUFC | @Cristiano

— Manchester United (@ManUtd) September 5, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#EPL #Liga Perdana Inggeris