MANCHESTER UNITED 3 ATALANTA 2

Harry Maguire menyatakan kekecewaannya terhadap cara Manchester United bertahan sambil memuji Cristiano Ronaldo selepas The Red Devils memadamkan defisit dua gol untuk mengalahkan Atalanta 3-2.


Tuntutan itu disuarakan oleh ketua pasukan tersebut selepas menyaksikan pelawat kendalian Gian Piero Gasperini berkenaan mendahului perlawanan dengan dua gol selepas hanya 29 minit permainan di Old Trafford, awal pagi tadi.

Ia dua gol terawal yang mereka bolosi di tempat sendiri dalam Liga Juara-Juara (UCL) sejak Oktober 2012.

Malah,ia merupakan perlawanan ke-12 berturut-turut gawang mereka bocor -- catatan terpanjang mereka sejak Februari 1964 (13).

Namun, ledakan Marcus Rashford untuk jaringan ke-300 sejak United dikendalikan oleh Ole Gunnar Solskjaer menjadi titik tolak kepada mereka sebelum Harry Maguire menyamakan kedudukan menerusi gol sulungnya dalam UCL.

Ronaldo kemudian menemui penyudah dalam tiga perlawanan berturut-turut, sekali gus mengulangi pencapaian pada 2007-08 yang menyaksikan mereka menjulang trofi elit terakhir Eropah itu di bawah bimbingan Alex Ferguson.

Walaupun mampu bangkit, Maguire mengakui kecewa dengan corak bertahan pasukannya, lantas dia menyeru rakan sepasukannya agar memperkemaskan bahagian benteng.

"Kami gemar menempuhi jalan berliku dalam UCL," kata Maguire kepada BT Sport selepas perlawanan.

"Dalam babak pertama, kami melepaskan dua gol mudah -- sepakan percuma yang pantas ketika melepaskan gol pertama dan situasi bola mati yang tidak sepatutnya kami bolosi.

"Kami melepaskan gol dalam beberapa perlawanan lalu menerusi bola pegun, saya rasa ia terjadi dalam keempat-empat perlawanan terakhir jadi kami perlu memperbaikinya.

"Ia tidak cukup baik untuk kelab ini. Kami sedang mengusahakan formula untuk menjadi lebih mantap tetapi ia mestilah mengenai cara memenangi perlawanan bola sepak.

"Kami telah menunjukkan semangat bersatu yang luar biasa. Ketika menuju ke bilik persalinan, peminat tetap bersorak dan bertepuk tangan kepada kami. Oleh itu, kami memberikan mereka keputusan dan tenaga yang selayaknya buat mereka."







Ronaldo, sekali lagi menjadi wira apabila mengulangi sumbangannya seperti ketika membenam Villarreal pada saat-saat akhir, justeru Maguire segera memuji penjaring terbanyak itu.

"Ia terpampang di depan mata saya," kata pertahanan tengah itu mengenai kemenangan Ronaldo.

"Saya berada betul-betul di belakangnya. Lompatan, waktu dan ketepatannya dalam sepakan sudut itu.

"Kami melihatnya dalam sesi latihan dari hari ke hari selain gol yang telah dijaringkan sepanjang kariernya. Dia sekali lagi menghasilkan gol penting untuk kami dalam UCL."