Ole Gunnar Solskjaer perlu mengosongkan mejanya sempena memberi laluan kepada pengurus Manchester United yang seterusnya, tetapi percaya The Red Devils akan kembali menemui rentak kemenangan di sebalik kemerosotan kebelakangan ini.

Selepas hampir tiga tahun mengemudi juara 20 kali itu, Solskjaer akhirnya dipecat petang semalam berikutan tewas 1-4 kepada Watford.

Ia menyusuli kekalahan perit kepada Liverpool dan Manchester City di Old Trafford untuk United kini tewas lima daripada tujuh perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ramai yang akan menganggap pengurus Norway tersebut telah dikecewakan oleh barisan pemain berbakat yang dimilikinya, tetapi Solskjaer tetap menyifatkan skuad yang perlu ditinggalkannya itu sebagai pemain dan individu terbaik selain merupakan kumpulan pemain yang menyeronokkan untuk bekerjasama".

Dia bercadang untuk kembali ke negara asalnya dan menghabiskan masa bersama keluarganya tetapi tidak menolak akan menggalas jawatan seperti itu lagi pada masa akan datang.

“Saya akan keluar melalui pintu depan kerana saya rasa semua orang tahu bahawa saya telah mencurahkan segala-galanya buat kelab ini,” katanya kepada stesen televisyen MUTV.

"Kelab ini bermakna segala-galanya kepada saya dan kami pernah mengharungi perlawanan yang baik tetapi malangnya saya tidak mampu mencapai keputusan yang diperlukan dan sudah tiba masanya untuk saya ke tepi."


Solskjaer mendedahkan dia amat bangga, sangat berbesar hati dan bertuah untuk menguruskan kelab yang pernah diwakilinya di bawah era gemilang Alex Ferguson sebagai pengurus.

"Inilah bola sepak, ia benar-benar menyeronokkan dari minit pertama hingga akhir.

"Jadi saya perlu berterima kasih kepada semua pemain kerana sejak saya ke mari, mereka adalah pemain terbaik. Ada yang datang dan ada yang telah pergi, tetapi mereka semua merupakan kumpulan pemain yang menyeronokkan untuk bekerjasama."

Beberapa pemain sering mengundang masalah kepada Solskjaer sepanjang tempoh kendaliannya, tetapi pengurus berusia 48 tahun yang sedang sarat emosi itu tidak terlintas untuk mengungkit detik-detik gelap mereka ketika mengulas mengenainya dalam satu temu bual terakhir sebelum melangkah pergi.

Dia berharap masih mampu meninggalkan United dalam keadaan yang lebih baik berbanding ketika awal ketibaannya selain mempunyai keyakinan skuad itu akan bertambah baik.

"Asasnya sudah ada, saya tahu mereka sudah bersedia untuk kembali ampuh dan saya pasti mereka akan mencapainya," katanya.

“Saya pasti kita akan melihat mereka kembali mendapat rentak kejayaan.

"Sebagaimana yang saya katakan kepada mereka pagi tadi: 'Percayalah kepada diri sendiri, anda tahu kita adalah lebih baik daripada ini."