Paul Pogba berasakan Manchester United memang layak kalah 2-4 di Leicester City dan menuntut pasukannya agar segera menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka daripada segi persembahan.

Rekod tanpa kalah United dalam 29 perlawanan berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL) berakhir di Stadium King Power, malam tadi, selepas pintu gol mereka dirobek empat kali sejak April 2019 di Everton.

Rembatan deras Mason Greenwood untuk gol pembukaan perlawanan dipadamkan Youri Tielemans dalam separuh masa pertama sebelum Caglar Soyuncu meletakkan Leicester di depan ketika permainan bersisa 12 minit.

Dalam kerancakan di penghujung perlawanan itu, Marcus Rashford sempat menyamakan kedudukan dalam penampilan pertamanya musim ini tetapi 54 saat kemudian, Jamie Vardy menjadikan kedudukan 3-2 dengan The Foxes mengembalikan kelebihan mereka sebaik dari sepak mula.

Pada masa kecederaan, Patson Daka menambah derita pelawat untuk Leicester melakar tiga kemenangan berturut-turut ke atas United dalam tempoh 120 tahun.

Dengan empat kekalahan dan hanya dua kemenangan daripada tujuh perlawanan musim ini, kemampuan United dalam keadaan meragukan menjelang jadual bertemu Liverpool, Tottenham, Manchester City, Chelsea dan Arsenal, selain pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Atalanta dan Villarreal.







Pogba gusar keputusan seperti ini akan berterusan kecuali ada sesuatu yang perlu berubah.

"Sejujurnya, kami telah lama beraksi seperti ini dan tidak berdepan masalah," katanya selepas perlawanan.

"Kami perlu mencari apakah puncanya. Melepaskan gol mudah, gol bodoh dan apabila kami sedar beraksi di gelanggang ini yang didorong oleh sorakan penyokong, ia boleh memberi tekanan kepada kami.

"Kami perlu lebih matang. Kami perlu menggunakan pengalaman, kesombongan dalam konteks yang baik. Kami harus mengawal bola dan mempamerkan rentak sebenar.

"Sekarang, kami harus mencari kunci perubahan dan corak permainan ini. Saya rasa kami memang layak kalah hari ini.

"Kami perlu mencari sesuatu, kami perlu mengubah sesuatu. Saya tidak tahu apakah pemikiran semua pemain. Ini mengecewakan kerana ia adalah sesuatu yang tidak patut. Kami faham dan kami mesti segera mengatasinya jika ingin bersaing dan memenangi gelaran. Perlawanan seperti harus dimenangi walaupun ia sangat sukar dan kami menguasai perlawanan.

"Kami perlu berjuang mempamerkan permainan sebenar, perlu mencari mentaliti, taktik yang tepat untuk memenangi perlawanan ini. Itulah yang saya fikirkan. Kami mempunyai masa untuk memikirkannya, terus bersatu padu dan mencari penyelesaiannya."

Pemain tengah, Nemanja Matic, mengakui skuadnya berasa sangat kecewa tetapi berjanji akan memperbaiki persembahan mereka.

"Tentu saja kami kecewa. Semua orang sedih, semua orang agak sedih ketika ini," katanya kepada MUTV.

"Tetapi kami harus tetap cekal. Tiba waktunya untuk kami bersatu, mengkaji perlawanan ini dengan secepat mungkin, kemudian memikirkan yang berikutnya dalam tiga, empat hari lagi menjelang aksi menentang sebuah pasukan yang sangat baik di Atalanta.

"Kami sangat kecewa tetapi pada masa depan, kami akan membuktikan bahawa kami jauh lebih baik daripada ini."