MANCHESTER UNITED 1 EVERTON 1

Manchester United sekali lagi menghampakan harapan penyokong apabila sekadar seri 1-1 dengan Everton di Old Trafford sambil Andros Townsend meneruskan rentak cemerlangnya musim ini.


Ego United sempat diselamatkan Cristiano Ronaldo ketika mereka mempamerkan persembahan yang kurang memberangsangkan sewaktu menentang Villarreal pada pertengahan minggu ini, namun tiada lagi drama lewat permainan apabila The Red Devils terus buntu hingga wisel penamat sebentar tadi.

Ole Gunnar Solskjaer membuat kejutan dengan mengetepikan bintang Portugal itu apabila mempertaruhkan Edinson Cavani sambil gandingannya, Anthony Martial, mencetak jaringan pertamanya sejak Februari lalu, dua minit sebelum rehat biarpun pelawat lebih menyerlah.




Ronaldo kemudian diperkenalkan dari bangku simpanan untuk penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) ke-200, tetapi Everton pantas menyamakan kedudukan hasil gol kelima Townsend musim ini pada minit ke-65, sekali gus menafikan hajat United untuk menguasai puncak buat sementara waktu.

Tuan rumah sempat cemas apabila jaringan Yerry Mina dibatalkan kerana ofsaid selepas diperiksa video bantuan pengadil (VAR).