Manchester United belum capai mentaliti juara, kata Ten Hag

Shaiful Shamsudin
Januari 23, 2023 00:23 MYT
ARSENAL 3 MAN UTD 2
Erik ten Hag menyifatkan kekalahan Manchester United kepada Arsenal sebagai bukti bahawa mereka harus mengubah mentaliti demi bersaing di peringkat elit.
Gawang United dirobek pada lewat permainan buat kali kedua minggu ini berikutan jaringan penyamaan Michael Olise untuk Crystal Palace disusuli ledakan kemenangan Eddie Nketiah di Stadium Emirates, awal pagi tadi.
Jaringan Nketiah pada minit ke-90 itu menghadiahkan Arsenal kemenangan 3-2.
Bagaimanapun, bagi pengurus United itu, dia masih berasakan pelawat mampu dan sepatutnya membawa pulang satu mata.
Dia menyampaikan amanat itu kepada pemainnya sambil berpesan kepada barisan anak buahnya bahawa mereka belum bersedia untuk memenangi kejuaraan utama.
"Mungkin dalam beberapa jam akan datang, baru saya akan sedar bahawa kami sedang berada di kedudukan yang baik, menyedari kami berkembang dengan baik, melalui proses yang bagus," katanya selepas perlawanan.

Arsenal 3-2 Man Utd: A brilliant game of football. Based on quality of chances, Arsenal deserved that late winner and they hit 50 points at the halfway points of their Premier League season. Mikel Arteta's young side go from strength to strength. pic.twitter.com/jq4Rj6p6pG

— Opta Analyst (@OptaAnalyst) January 22, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
"Tetapi pada masa ini, saya berang.
"Saya juga telah memberitahu pemain: 'Jika anda mahu memenangi trofi, gelaran, kami perlu mengubah mentaliti.'
“Tidak mungkin dalam perlawanan getir seperti ini anda melakukan tiga kesilapan besar hingga dibolosi.
"Lebih-lebih dengan gol terakhir, anda perlu berasakan rentak permainan ini. Pada ketika itu, satu mata adalah maksimum, jadi anda perlu memungutnya.
"Anda tidak boleh melepaskan gol seperti ini di peringkat teratas. Anda tidak mampu memenangi trofi dengan mentaliti ini.
"Saya fikir menerusi bimbingan, kami mampu mengubahnya. Kita telah melihat bahawa mentaliti di sini telah berubah sejak beberapa bulan lalu.
"Tetapi hari ini kami juga perlu menyedari bahawa kami masih mempunyai cabaran untuk berada dalam kelompok atasan."
Gol lewat itu nyata mengecewakan Ten Hag apabila dia menambah: "Pemain perlu sedar permainan sudah tamat hanya apabila pengadil meniupnya tiga kali.
"Hingga detik itu, maka anda perlu melakukan segala-galanya dengan betul, fokus 100 peratus, lakukan pengorbanan, penderitaan, patuhi peraturan dan prinsip."
#Arsenal #Manchester United #Erik ten Hag