Paul Pogba yakin Manchester United akan bangkit dengan lebih kuat berikutan kekecewaan mereka tewas dalam aksi final Liga Europa (UEL).

United tewas 11-10 dalam penentuan penalti penuh dramatik kepada Villarreal di Gdansk Khamis lalu, penjaga gol, David de Gea, gagal menyempurnakan sepakan penting selepas perlawanan berakhir 1-1 120 minit waktu permainan.

Kekalahan itu bermakna Ole Gunnar Solskjaer masih lagi menanti trofi pertamanya bersama kelab itu sebagai pengendali.

Ternyata, Red Devils tidak memenangi sebarang kejuaraan sejak memenangi pertandingan sama di bawah kendalian Jose Mourinho pada 2017.

Bagi Pogba -- yang digantikan pada minit ke-116, menafikan peluangnya untuk mengambil sepakan penalti -- kekalahan tersebut ternyata mengecewakan untuk penamat musim ini, namun pemain tengah itu sekadar beralih tumpuan kepada masa depan.

"Saya memerlukan beberapa hari untuk menilai semula selepas perlawanan itu," kata Pogba menerusi Twitter.

"Sudah tentu, sangat kecewa kerana tidak memenangi final tetapi kami adalah pasukan yang melihat ke hadapan dengan penuh semangat.

"Terima kasih kepada semua penyokong. Kami akan kembali dengan lebih kuat."