Jurgen Klopp berkata Manchester City tidak mampu memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) sekiranya mereka mengalami krisis kecederaan yang sama seperti yang dialami Liverpool sambil mengatakan memenangi tempat keempat akan sama seperti memenangi trofi.

Liverpool mengakhiri penantian selama 30 tahun untuk menjulang trofi itu musim lalu, namun impian untuk mempertahankan kali ini terjejas teruk akibat krisis kecederaan.

The Reds dilanda masalah itu terutama di bek tengah, di mana Virgil van Dijk, Joe Gomez dan Joel Matip masing-masing terpaksa melupakan sebahagian besar kancah musim ini.

Pergelutan Liverpool terserlah apabila mencatatkan enam kekalahan berturut-turut liga sebagai tuan rumah di antara Januari dan Mac lalu, secara tidak langsung meletakkan harapan mereka ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.

Begitupun, sejak tumbang 0-1 kepada Fulham, kelab Merseyside itu telah menang tujuh dan seri dua kali dalam EPL sementara tiga mata ke atas Crystal pada malam ini mungkin cukup untuk mereka menjamin kedudukan keempat -- walaupun Chelsea dan Leicester City masih mampu menggugat.

Klopp menghamburkan pujian terhadap karakter pasukannya, malah yakin pengurus juara yang baru ditabalkan, Pep Guardiola, juga akan goyah sekiranya dalam situasi serupa.

"Tahun ini, dengan jumlah kecederaan yang kami alami, ia bukan tahun untuk menjadi juara. Tiada peluang langsung untuk sesiapa sekalipun (yang menghadapi masalah sama)," katanya.

"Jika City kehilangan tiga pertahanan pusat mereka untuk sebahagian besar kempen, mereka pasti tidak mampu (menawan liga). Begitu juga dengan Manchester United.

"Kami agak bergelut, menghadapi kesukaran dan cuba yang terbaik. Jika kami menang malam ini dan andai kami layak ke UCL, maka kami membuat yang terbaik. Itu sahaja.

"Kadang-kadang ketika menderita, kami tidak mampu menampungnya. Itulah sebabnya keadaan tidak menyebelahi kami tetapi saya tidak pernah mempersoalkan karakter atau mentaliti pasukan ini."






Klopp telah menghadiahkan kejayaan UCL dan EPL di Anfield, namun masih berpuas hati dengan pencapaian tempat keempat atas dilema yang dihadapi musim ini.

"Saya tidak ingat sudah berapa tahun tetapi kami pati akan mengenang semula era kami di sini. Musim ini adalah sebahagian daripada kisah dan sejarah kami," tambahnya.

"Ya, ia sangat bermakna bagi saya untuk memenangi trofi, sudah pasti. Jelas kami tidak akan sampai ke situasi ini sekiranya pemain saya tidak menonjolkan perwatakan seperti ini. Mereka mempunyai karakter yang sangat istimewa.

"Untuk tempoh yang lama, situasi ini pasti tidak akan banyak dibincangkan pada masa depan. Hakikatnya barisan pemain ini masih melakukan sesuatu yang sangat istimewa. Saya perlu katakan bahawa ia benar-benar istimewa.

"Sukar apabila kehilangan kesemua pertahanan tengah, kami jadi patah kaki.

"Tetapi tidak ada pergolakan yang terjadi antara kami. Ya, kami mengalami saat-saat yang menyaksikan pemain tidak berada di tahap atau mood terbaik. Saya tidak berada dalam suasana terbaik tetapi kami selalu dapat mencari jalan untuk terus bersama.

"Kami tidak pernah menyalahkan satu sama lain atau saling menuding jari.

"Kami tidak terganggu. Kami tahu, kami datang ke sini bersama-sama, kami melalui ini bersama-sama dan kami akan menjadi lebih ampuh kerana itu.

"Kami harus membuktikannya pada musim depan kelak dan segala pengalaman tahun ini juga akan menjadi bekalan."