Pengurus Everton, Carlo Ancelotti, mengucapkan tahniah buat Manchester City dan mengiktiraf mereka sebegai bakal juara selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menewaskan pasukannya 3-1 di Goodison Park awal pagi tadi.

City melebarkan kelebihan mereka kepada 10 mata di depan pencabar terdekat, Manchester United, selepas mempamerkan aksi dominan untuk menewaskan Everton hasil sumbangan gol daripada Phil Foden, Riyad Mahrez dan Bernardo Silva.

Bintang Everton, Richarlison, menyamakan kedudukan dalam babak pertama tetapi ia masih belum cukup untuk menghalang The Toffees daripada tewas buat kali kedua dalam tempoh empat hari ini di Merseyside -- kalah 0-2 kepada Fulham hujung minggu lalu.

City memenangi kesemua 12 perlawanan liga terakhir dan keseluruhan 17 dalam kesemua kejohanan dan Ancelotti berasakan tiada pasukan lain mampu menyekat skuad kendalian Pep Guardiola itu daripada mejulang trofi EPL kelima mereka tahun ini.

"Saya fikir begitu (mereka akan memenangi liga). Amat sukar untuk meletakkan nama pasukan lain," kata Ancelotti.

"Man City, buat masa ini, sedang berada dalam suasana terbaik. Mereka memiliki kualiti luar biasa, mereka mempunyai keyakinan, mereka amat kuat.

"Kami mencuba untuk meletakkan pemain terbaik dalam perlawanan ini tetapi ia amat sukar untuk bedepan Rodrigo, (Ruben) Dias, (Aymeric) Laporte."