MIDDLESBROUGH 0 MANCHESTER CITY 2

Manchester City menempah tempat dalam separuh akhir Piala FA tetapi Pep Guardiola berasakan pasukannya perlu meningkatkan mutu permainan di depan gol jika mahu menuntut apa-apa kejuaraan musim ini.

Gol menerusi David Silva dan Sergio Aguero membantu City mara ke separuh akhir, malam tadi, selepas menyingkirkan Middlesbrough dengan kemenangan selesa 2-0 di Stadium Riverside.

Tetapi mereka terlepas beberapa peluang untuk mencipta kemenangan besar dan Guardiola mahu pemainnya lebih klinikal ketika mereka memburu tiga kejuaraan.

"Kami bermain dengan prestasi yang baik dari minit pertama. Kami terlepas banyak peluang sepanjang musim ini dan permainan sepatutnya tamat (menang) 30 minit lebih awal," kata Guardiola kepada BBC.

"Kami perlu meningkatkannya, tetapi saya gembira dan kami boleh bermain dengan Monaco. Kami cemerlang dari awal. Saya suka bekerja dengan skuad ini, saya amat gembira.

"Apabila anda menyerang dengan baik, anda bertahan dengan baik. Kami mahu bermain dengan cara ini."

Sementara itu, jurulatih kelahiran Sepanyol itu memuji penjaga gol, Claudio Bravo, selepas menyelamatkan skuad daripada ancaman gol Middlesbrough.

Dia menambah: "Claudio (Bravo) memberikan persembahan yang baik dan sebab itu kami mempunyai satu lagi rekod bersih."