Manchester United membenarkan Facundo Pellistri untuk kembali menyertai semula kelab LaLiga, Deportivo Alaves, secara pinjaman bagi musim 2021-22.

Pemain berusia 19 tahun itu menyertai United dari Penarol Oktober lalu sebelum dipinjamkan ke Alaves pada Januari bagi mendapatkan waktu permainan.

Turun 12 kali, lima daripadanya tersenarai dalam kesebelasan utama, dengan Alaves menamatkan saingan di tempat ke-16 dan mengelak penyingkiran.

Pellistri kembali ke Old Trafford bagi pra-musim dan menikmati peranan yang banyak ketika United masih lagi tanpa beberapa pemain utama ekoran baru sahaja tamat beraksi di pentas antarabangsa.

Menjaringkan gol ketika membantu United mengatasi Derby County 2-1 sebelum melakukan lorongan buat jaringan kemenangan Jesse Lingard ketika bertemu QPR sementara mempamerkan bakatnya selama 30 minit ketika bertemu Brentford.