Jaringan perpindahan belum ditutup tetapi perhatian sudah beralih ke musim depan.

Kylian Mbappe kini memasuki tahun terakhir kontrak di Paris Saint-Germain, sementara tawaran buat bintang Borussia Dortmund, Erling Haaland, semakin mendapat sambutan.

Manchester United dilaporkan bersedia mengejar kedua-duanya.

Manchester United telah menjadikan Mbappe sebagai sasaran bagi musim hadapan, menurut ESPN.

Mbappe telah dicanang bakal menyertai Real Madrid dan Marca telah mendakwa gergasi LaLiga itu cuba menandatangani bintang PSG itu sebelum tamat jendela perpindahan kali ini.

Liverpool turut dikaitkan dengan Mbappe, tetapi United turut memantau situasi pemain tersebut, dengan kontrak pemain kebangsaan Perancis itu bakal berakhir penghujung musim 2021-22.

Sementara itu, wartawan Perancis Julien Laurens, juga menyatakan tahun depan boleh menjadi masa yang tepat bagi United untuk mendapatkan Erling Haaland dari Borussia Dortmund.

Haaland kini dalam radar beberapa gergasi Eropah, selepas dikaitkan dengan Madrid, Barcelona, Manchester City dan Bayern Munich.