Pengunduran Brad Maloney sebagai ketua jurulatih B-23 negara mengundang simpati bekas pengendali kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, yang berpendapat kegagalan pasukan negara dalam Sukan SEA Hanoi dan Piala AFC yang lalu tidak harus ditunding jari ke arah satu pihak sahaja.

Jurulatih dari Australia itu mencapai kata sepakat dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam, untuk melepaskan jawatannya dengan persetujuan bersama.

Pasukan B-23 tetap mara ke pusingan akhir Piala AFC yang mendorong kontrak Maloney dilanjutkan, hujung tahun lalu, sekalipun berdepan kekangan untuk mengumpul pemain sebelum ia ditamatkan beberapa bulan lebih awal berhubung keputusan kurang memberangsangkan akhir-akhir ini di sebalik tiada sebarang sasaran diletakkan.

"Setiap jurulatih inginkan sokongan daripada semua pihak. Dia telah lakukan apa yang patut, apabila tidak mendapat keputusan positif, ini perkara biasa dan berlaku di mana-mana.

"Saya harap FAM dapat lihat apa yang telah dilakukan Maloney sebelum ini," kata jurulatih Sabah itu dalam Nadi Arena sebentar tadi.




Menurut penyerang, Azfar Fikri: "Maloney buka masa depan saya, peluang yang diberikan membuatkan bakat saya dapat ditonjolkan."






Sementara itu, Maloney tiada sebarang kekesalan untuk melepaskan jawatan dan bangga dengan bakti yang pernah dicurahkan.

Tegasnya, pencapaian sering menjadi tuntutan utama sedangkan di peringkat pembangunan, dia lebih cenderung kepada pendedahan pemain.

"Saya tidak kesal selepas bersama pasukan ini selama tiga tahun, ia satu penghormatan atas peluang di peringkat kebangsaan. Sudah pasti saya akan terus mengikuti perkembangan pemain-pemain ini dari jauh dengan penuh minat.

"Apabila bercakap tentang pasukan di bawah umur, sudah tentu pembangunan berada dalam fikiran.

"Saya tidak begitu gemar untuk berkorban semata-mata untuk memenangi kejohanan," kata Maloney.