Penolong jurulatih skuad B-23 negara, Brad Maloney, dilantik sebagai ketua jurulatih sementara skuad B-19 berkuat kuasa Isnin ini.

Ia berikutan keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yang mahu mengisi kekosongan jawatan itu selepas tidak memperbaharui kontrak penyandangnya, Bojan Hodak.

FAM dalam kenyataan media hari ini berkata jurulatih dari Australia itu akan memegang jawatan sementara berkenaan hingga hujung tahun ini dan tugasan pertamanya adalah Kejohanan AFF B-18 di Vietnam, 5-18 Ogos depan.

Selain itu, Maloney juga dipertanggungjawabkan untuk membimbing skuad B-19 menghadapi Kejohanan AFC B-19 2020 di Kemboja, 2-10 November depan.

Bagaimanapun, FAM menjelaskan Maloney tetap bertanggungjawab sebagai penolong jurulatih skuad B-23 kerana dia adalah sebahagian daripada tenaga yang membantu skuad negara dalam Sukan Asia Indonesia 2018, Kejohanan AFC B-23 2018 dan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo, berkata Maloney adalah calon ideal untuk mengisi jawatan itu kerana dia sudah biasa dengan cara bola sepak Malaysia.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingan, berkata Maloney telah membuktikan dirinya sebagai penolong jurulatih yang berwibawa dan sudah tiba masanya untuk dia memimpin pasukan B-19.

Untuk rekod, skuad B-19 kebangsaan menjuarai Kejohanan AFF B-19 tahun lalu dan layak ke Kejohanan AFC B-19 2018, namun gagal melepasi peringkat kumpulan.

-- BERNAMA