Ketua jurulatih skuad B-22 negara, Brad Maloney, menyuarakan hasratnya untuk kekal berbakti di Malaysia selepas membawa barisan pemain muda negara ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan, Jun tahun depan

Bagaimanapun, dia menyerahkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menentukan kedudukannya sebelum kontraknya tamat pada penghujung tahun ini.

Ia merupakan kali kedua Malaysia layak ke pusingan akhir kejohanan itu selepas edisi di China pada 2018.

Ketika itu, skuad muda negara dibimbing oleh Datuk Ong Kim Swee dan Maloney pula bertindak selaku penolong jurulatih.

Apa yang pasti, Maloney memiliki ramai pilihan pemain untuk menguatkan pasukannya di Uzbekistan seandainya dapat mengekalkan jawatannya.

Antaranya Arif Aiman (Johor Darul Ta'zim), Shahrul Nazeem Zulpakar, Danial Asri (Selangor FC), Wan Kuzri Wan Kamal (University of Akron), Rahadiazli Rahalim (Terengganu) dan Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama).

Mengulas mengenai perkara itu, Maloney berkata kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam: "Saya sentiasa katakan, selagi saya dapat meneruskan untuk bersama pasukan ini -- saya mempunyai keyakinan yang luar biasa terhadap pasukan ini -- sudah pasti saya mahu meneruskannya selama mungkin.

"Tetapi pada akhirnya, ia akan menjadi satu perkara yang akan ditentukan pihak pengurusan dan saya tidak tahu seandainya mereka akan mengambil pendekatan berbeza.

"Sudah pasti saya amat berbangga dengan pemain saya kerana mereka mempamerkan prestasi yang amat baik dan saya menikmati pekerjaan saya bersama pasukan ini.

"Kami mempunyai lebih daripada 50 nama untuk dipilih dan disenaraikan dalam kejohanan (di Uzbekistan) ini. Pintunya sentiasa terbuka buat kesemua pemain yang layak," katanya.

Skuad B-22 negara kembali ke tanah air hari ini selepas muncul juara Kumpulan J pusingan kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbatar, Mongolia.

Malaysia menewaskan Laos dan tuan rumah, Mongolia, 1-0 sebelum terikat tanpa jaringan dengan Thailand untuk mengumpulkan 7 mata daripada tiga perlawanan.