Jurulatih sementara skuad B-19 negara, Brad Maloney, tidak menganggap pelantikannya secara sementara oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai tekanan menjelang Kejohanan AFF B-18 di Vietnam, Ogos depan dan pusingan kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Kemboja, November depan.

Baginya, dia tetap komited untuk membentuk skuad terbaik menjelang Kejohanan AFF memandangkan skuad negara akan turun selaku juara bertahan.

Bekas pemain kebangsaan Australia itu percaya dia sudah memiliki pengalaman yang mencukupi selaku penolong kepada Datuk Ong Kim Swee dalam skuad B-23 dari 2014 hingga kini.

"Anda sentiasa mahukan kejayaan tanpa mengambil kira apa jua keadaan.

"Berdasarkan gambaran besar, saya mahu berjuang untuk memberikan yang terbaik buat Malaysia selepas mempelajari dan menyesuaikan diri dengan budaya di sini.

"Saya cuma perlu lebih mengenali pemain saya," katanya.

Maloney mengakui peranannya selaku pengendali skuad B-19 turut memerlukannya untuk memastikan peralihan pemain yang lebih lancar daripada skuad B-19 kepada skuad B-23 tahun bagi memastikan kejayaan yang lebih besar.

"Dengan bekerjasama dengan ketua jurulatih skuad B-23, saya mahu memastikan kelangsungan pemain yang ada berlangsung dengan lancar dan saya menyedari kepentingan perkembangan setiap pemain," tambahnya.