ALBACETE 1 REAL MALLORCA 0
(Mallorca mara dengan agregat 2-1)

Real Mallorca akan membuat perhitungan dengan Deportivo La Coruna dalam perlawanan akhir play-off Segunda selepas mengalahkan Albacete dengan agregat 2-1 meskipun tewas 0-1 dalam aksi di Estadio Carlos Belmonte, awal pagi tadi.


Leo Suarez dan Dani Rodriguez memberikan kelebihan kepada skuad bimbingan Vicente Moreno itu dan biarpun jaringan Jeremie Bela menghangatkan lagi aksi di tempat lawan, Mallorca berhasil mengekalkan kelebihan mereka.

Bela membuka tirai gol pada minit ke-16 melalui sepakan percuma untuk tuan rumah mula memasang impian.

Bagaimanapun, Mallorca berhempas-pulas untuk melebarkan kelebihan itu dengan melancarkan asakan bertali arus.

Albacete meningkatkan tekanan di peringkat akhir permainan yang menyaksikan tandukan jarak dekat Roman Zozulya tersasar dan usaha mereka selepas itu juga tidak membuahkan hasil.

Sehubungan itu, Mallorca -- yang dinaikkan pangkat daripada kancah Segunda B musim lalu -- akan menghadapi Deportivo di Riazor dalam pertemuan pertama, Jumaat ini, sebelum menjadi tuan rumah kepada skuad asuhan Jose Luis Marti itu di Son Moix, tiga hari kemudian.

Kejayaan dalam aksi timbal balik itu akan menyaksikan mereka kembali ke LaLiga buat kali pertama sejak 2012-13.