Pertemuan dengan Vietnam semalam adalah merupakan satu pengajaran yang penuh bermakna bagi skuad negara kendalian Tan Cheng Hoe dan peminat-peminat bola sepak negara.

Ini kerana skuad bimbingan Park Hang Seo itu telah menunjukkan kepada pencinta bola sepak Malaysia bahawa Vietnam kini terus melangkah jauh dalam pembangunan bola sepak mereka selari dengan kemajuan ekonomi negara mereka.

Ia juga boleh di lihat dari cara mereka bermain dan berfikir di atas padang.

Inilah perubahan budaya yang berjaya dilakukan dalam bola sepak Vietnam apabila mereka telah begitu rapi dalam menggerakkan pembangunan bola sepak akar umbi mereka sebagaimana yang kita boleh lihat di PVF Football Academy di Vietnam.

Akademi ini telah menyediakan fasiliti bertaraf antarabangsa dan membawa pakar-pakar pembangunan akar umbi dari Eropah.

Lihat sahaja bagaimana corak permainan yang pantas (high intensity), agresif serta tersusun selain pemain-pemainnya begitu memahami pergerakkan taktikal pada setiap bahagian yang sentiasa berada pada tempat yang betul (diamond shape) dan sesuai untuk rakan-rakan melakukan hantaran sebagaimana yang dikehendaki jurulatih mereka.





Ia sugguh berbeza dengan corak permainan Malaysia dimana bahagian tengah dan penyerang negara agak kurang berdaya saing untuk menekan lawan sebaliknya mereka terlalu banyak memberi ruang kepada lawan untuk berfikir dan membuat keputusan.

Sepatutnya ini tidak boleh berlaku kerana pemain-pemain kita juga telah banyak menerima pendedahan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Lihat sahaja bagaimana ketiga-tiga jaringan dilakukan Vietnam yang begitu mudah dilakukan kerana pemain-pemain seolah-olah terpegun dengan tindak balas patas lawan dan mereka tidak pantas untuk bertindak menghalangan serta memberi tekanan.

Sekiranya ingin mencipta kemenangan ketika berhadapan Indonesia, anak didik Cheng Hoe perlu mengubah cara bermain dan berfikir, mereka perlu lebih agresif terutama di bahagian tengah dan pertahanan kerana mereka tidak boleh membiarkan lawan mudah berfikir.

Mereka juga perlu membaca permainan dengan baik dan perlu berfikir lebih daripada satu perkara dalam satu saat apakah tindakan dan keputusan yang perlu mereka lakukan.

Jika ini dapat dilakukan sudah tentu pemain-pemain negara boleh mencipta kemenangan.

Apa yang perlu ketika ini anak didik Cheng Hoe perlu yakin dengan kemampuan diri mereka serta yakin dengan setiap taktikal dan perancangan jurulatih mereka kerana hanya dengan keinginan yang tinggi serta berfikir dan reaksi dengan pantas itu akan memberi kejayaan pada mereka.