Tiada pilihan. Malam ini Sarawak mahukan tiga mata. Itu ikrar Pengiran Bala mengulas aksi Liga Super bertemu Pulau Pinang di Stadium Negeri.

Di atas kertas, Sarawak mampu mengutip tiga mata tetapi bersandarkan rekod suram di stadium tersebut, keyakinan sedikit tergugat.

"Tiga pemain yang masih dibelenggu kecederaan ialah Demerson Bruno Costa, Ronny Harun dan Sahil Suhaimi.

"Saya tidak dapat mengesahkan sama ada mereka dapat diturunkan atau tidak ... semuanya akan diputuskan pada saat-saat akhir," katanya hari ini.

Pengiran Bala menjelaskan beliau berusaha untuk menurunkan barisan terkuat dan berharap dapat menampilkan pemain-pemain yang telah berehat panjang.

"Kami mahu pasukan yang segar dan bertenaga serta pemain yang telah mendapat rehat secukupnya.

"Pada masa sama, kami mahu memberi ruang sebesar mungkin kepada pemain muda untuk menimba pengalaman," ujarnya.

Katanya lagi, prestasi baik menerusi kemenangan 2-1 ke atas Selangor dalam aksi Piala Malaysia seharusnya menjadi bekalan anak-anak buahnya memburu kemenangan malam ini.

"Kami tahu mereka ada Mark Hartmann dan Sanna Nyassi selain dilatih Zainal Abidin Hassan.

"Sebab itu kami perlu bermain bermati-matian bagi memperjuangkan tiga mata berharga.

"Amat penting kami keluar dari zon penyingkiran dan malam ini kami harus bangkit."

Aksi pemain-pemain muda akan terus dipertaruhkan bagi memberi tenaga baharu kepada pasukan, dengan Sarawak dan Pulau Pinang merupakan dua pasukan yang bergelut dalam kedudukan tercorot liga.