Pengendali Sarawak, David Usop menganggap kemenangan anak buahnya di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang belum cukup untuk diberikan pujian walaupun hakikatnya kemenangan 1-0 itu menamatkan badi kekalahan mereka dalam Liga Super.

David mampu menarik nafas lega dengan Sarawak akhirnya berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas dibelenggu kesukaran mencari kemenangan dalam tiga aksi sebelum ini.

Bagaimanapun, kelegaan David tidak meliputi pujian buat anak buahnya yang disifatkan gagal beraksi pada tahap sebenar mereka.

Malah, dia menyifatkan kemenangan malam tadi hanya bersandarkan kepada nasib semata-mata.

"Tiga perlawanan sebelum ini kami bermain dengan baik tetapi seperti saya katakan, bola ini kadang kala agak kelakar, bila bermain baik kita tidak boleh menang tetapi kita mengutip tiga mata apabila bermain dengan buruk," kata David.

Sementara itu, reaksi jurulatih Pulau Pinang, Ashley Westwood, cukup bersahaja dengan menegaskan dia tidak perlu panik dengan kekalahan keempat berturut turut anak buahnya.

Sebaliknya, dia berpendapat tewas dalam empat perlawanan setakat ini adalah keputusan yang tidak adil.

"Kami menguasai perlawanan dan hantaran. Kami juga menguasai percubaan tepat ke gawang lawan dan sepakan sudut tetapi di akhir perlawanan, kami tetap tewas 1-0," ujarnya.