Riyad Mahrez dibenarkan untuk beraksi bersama Manchester City selepas menjalani ujian doping yang menyaksikan dia terlepas perlawanan Perisai Komuniti.

Bercakap selepas kemenangan ke atas Liverpool selepas penentuan sepakan penalti itu, Pep Guardiola menjelaskan bahawa Mahrez tidak menyertai perlawanan itu kerana City tidak dapat memastikan sama ada dia ada mengambil sebarang bahan terlarang sewaktu mewakili Algeria dalam Piala Negara-Negara Afrika lalu.

Mahrez mungkin akan diturunkan dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris menentang West Ham malam ini selepas Guardiola mendedahkan lawatan daripada Badan Antidoping United Kingdom telah membenarkan pemain berusia 28 tahun itu beraksi.

"Dia menjalani pembedahan kecil di hidungnya selepas Piala Afrika supaya dia boleh bernafas dengan lebih baik.

"Ia perkara normal.

"Doktor -- saya tidak fikir dia daripada pasukan kebangsaan -- tidak menghantarkan kertas kerja yang sepatutnya.

"Itulah satu-satunya sebab dia tidak diturunkan.

"Kami tidak memperolehnya pada masa yang tepat.

"Tetapi selepas minggu lalu, (ejen) antidoping telah melakukan ujian dan segala-galanya kelihatan baik.

"Dia boleh beraksi.

"Doktor kami datang berjumpa saya dan berkata mereka tidak tahu apa sebanarnya (bahan) yang diambilnya.

"Setiap kali anda mengambil sesuatu, anda perlu memaklumkannya kepada kelab dan menyenaraikannya.

"Semua orang tahu perkara itu.

"Kami melakukan kawalan sekali atau dua kali sebulan.

"Kami tidak memperolehnya pada waktu itu.

"Dia melakukannya di Algeria.

"Jadi, sebagai langkah pencegahan, kami perlu berhati-hati.

"Adalah lebih baik untuk tidak menurunkannya, itulah alasannya.

"Minggu ini, mereka menjalankan ujian ke atasnya dan dia sudah bersedia untuk diturunkan esok," katanya.

Mahrez mungkin akan memberikan impak yang lebih besar sepanjang minggu-minggu mendatang --memandangkan seorang lagi pemain sayap, Leroy Sane, terpaksa berehat selama tujuh bulan gara-gara kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) -- selepas dia gagal menepati reputasinya dalam musim pertamanya sebelum ini.

City mengambil pemain tengah baru, Rodri, yang tiba daripada Atletico Madrid dengan yuran perpindahan £63 juta (RM317.2 juta) dan Guardiola percaya pemain barunya itu akan memberikan impak besar di England.

"Apabila anda memikirkan tentang pemain tengah bertahan, itulah dia, dia seorang pemain tengah bertahan.

"Seperti Michael Carrick, seperti Sergio Busquets, sebagai pemain tengah bertahan, anda memikirkan apa yang terbaik buat pasukan.

"Dia tidak bermain untuk prestasi yang baik, dia bermain untuk memberikan yang terbaik buat pemain lain.

"Tiada tatu, tiada rambut ekor kuda. Sempurna. Normal. Itulah pemain tengah bertahan.

"Dia muda, kuat, membantu kami dengan hantaran jauh, dia amat bijak.

"Dia mempelajarinya daripada (Diego) Simeone di Atletico Madrid.

"Apa yang telah dia lakukan untuk Simeone akan membantu kami musim ini.

"Saya dapat rasakan.

"Adakalanya, pemain memerlukan lebih masa tetapi selepas 10 hari, kami menyedari dia amat bagus buat kami," tambahnya.