Selepas menerima sokongan penuh daripada Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Rosmadi Ismail, kini Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan Darul Naim (Kelate.Net) pula secara terbuka menyokong pencalonan Datuk Muhammad Nasir Hamzah sebagai Presiden baharu KAFA bagi penggal 2017-2021.

Presiden Kelate.Net, Mahizi Mahmood berkata, Muhammad Nasir mempunyai kelebihan tersendiri untuk menduduki kerusi nombor satu KAFA berbanding dengan calon lain yang turut menawarkan diri.

“Beliau memiliki aura tersendiri, berpengalaman dalam mengendalikan urusan persatuan serta mudah didekati penyokong menyebabkan namanya kini menjadi sebutan ramai.

“Dengan prestasi The Red Warriors (TRW) yang agak suram musim ini (terbaharu tersingkir dalam persaingan ke suku akhir Piala Malaysia), semua penyokong bola sepak Kelantan mengalu-alukan pencalonan Datuk Muhammad Nasir bagi mengetuai persatuan itu,” katanya.

Bagaimanapun, Mahizi turut memberi penghargaan kepada Mantan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa kerana berjaya melakukan tranformasi kepada bola sepak Kelantan dan kini sudah sampai masanya pemimpin lain pula menyambung perjuangan tersebut.

“Penyokong juga tidak pernah lupa kepada segala jasa yang dilakukan Tan Sri Annuar Musa dan berharap penggantinya dapat mengembalikan semula zaman kegemilangan TRW disamping membangunkan bola sepak Kelantan secara menyeluruh,” katanya.

Untuk rekod, selain daripada Muhammad Nasir, Pengurus Desa Murni Batik Kota Bharu, Bibi Ramjani IIias Khan dan Pengerusi Secretleaf International Sdn Bhd, Amir Ramadzan Ibrahim juga menyatakan hasrat yang sama untuk bertanding jawatan presiden pada Kongres Pemilihan KAFA pada 17 September ini.