PKNS FC akan turun berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada esok tanpa kelibat pemain sayap, Mahali Jasuli, ekoran perjanjian pinjaman yang dipersetujui pihak pengurusan kedua-dua kelab tersebut selepas pemain kebangsaan itu meninggalkan Harimau Selatan.

Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, mengesahkan Mahali tidak akan diturunkan untuk aksi di Larkin kerana persefahaman dengan JDT ituy mirip kepada perpindahan Safee Sali ke PKNS pada musim lalu, apabila bekas penyerang kebangsaan itu tidak boleh diturunkan ketika berdepan pasukannya pada musim pertama dia bersama pasukan baru.

Bagi Mahfizul, PKNS akan tetap mematuhi perjanjian dengan JDT itu walaupun ketika ini Mahali adalah antara tonggak utama skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu.

"Mahali memang tidak boleh beraksi dalam aksi antara PKNS dan JDT pada esok, disebabkan perjanjian pinjaman yang telah dipersetujui pada awal musim," kata Mahfizul.

Dalam masa sama, Mahfizul turut mengesahkan PKNS tidak merancang untuk menukar awang import kelab itu ketika jendela perpindahan pemain fasa kedua Liga Malaysia dibuka pada bulan depan.

Ketika ini, pertahanan dari Australia, Zac Anderson, sedang beransur pulih daripada kecederaan lutut, namun dia dijangka kembali menjalani latihan dalam masa terdekat.

"Untuk keseluruhan, setakat ini pihak jurulatih berpuas hati dan tidak menyatakan sebarang permintaan atau hala tuju baru pasukan.

"Alhamdulillah, barisan pertahanan dilihat mampu menggalas tanggungjawab dengan baik semasa ketiadaan Zac dan dia juga dijangka akan kembali pada minggu depan."