Bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Mahali Jasuli, membuktikan dia belum berada di penghujung karier apabila khidmatnya sah disambar PJ City FC untuk saingan Liga Super musim ini.

Sebelum ini, Nadi Arena melaporkan bekas tonggak PKNS FC musim lalu itu antara pemain tempatan yang berdepan kemungkinan pencen awal walaupun mempunyai reputasi hebat dalam kancah Liga Malaysia.

Ia disebabkan dia bergelut mendapatkan pasukan untuk beraksi musim ini selepas PKNS dijadikan sebagai kelab sokongan buat Selangor.

Namun, akhirnya Mahali berjaya mendapatkan pasukan untuk meneruskan kariernya apabila PJ City menerima kehadirannya dengan menandatangani kontrak setahun.

"Ya, dia sudah sertai kami dan jurulatih pun telah dimaklumkan. Dia mampu membantu pasukan secara keseluruhan," kata pengurus PJ City, Rajendran Kahniah.

Selain Mahali, PJ City turut mendapatkan khidmat bekas pertahanan Selangor dan PKNS, P. Gunalan, untuk saingan musim ini.

"Kami sedang melakukan persiapan rapi, sebab itu kami dapatkan pemain berpengalaman bagi mengukuhkan skuad. Kami tidak gentar untuk membawa masuk mana-mana pemain dalam sesebuah perlawanan," tambah Rajendran.

Sebelum mengharungi aksi pramusim di Kemboja untuk persediaan menghadapi Liga Super musim 2020, skuad kendalian K. Devan itu akan menentang pasukan B-23 Pakistan dalam satu perlawanan persahabatan Jumaat ini.



Editor: Nafis Abdullah