Mahali Jasuli yang semakin menemui rentak bersama PKNS FC dijangka menjadi pilihan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe, di bahagian sayap ketika berdepan Mongolia di Stadium Nasional, Bukit Jalil esok.

Dengan merakamkan tiga gol setakat ini, Mahali dilihat mula menemui prestasi terbaiknya seperti ketika bersama Harimau Muda dan Selangor.

Berdasarkan latihan terakhir skuad Harimau Malaya di Stadium Nasional, Mahali berpeluang diturunkan selaku pemain sayap kanan.

Dia dijangka akan membantu Ahmad Hazwan Bakri atau Syafiq Ahmad di bahagian serangan.

"Ini permulaan baik buat saya (musim ini) apabila terpilih dalam skuad kebangsaan.

"Saya perlu bekerja lebih keras lagi.

"Saya tidak mempunyai masalah dan sudah biasa beraksi di sayap kanan.

"Jika ada perubahan sekalipun, saya perlu sentiasa bersedia dan memberikan aksi terbaik," katanya.

Selain itu, Mahali memberi penghargaan kepada jurulatih skuad Semut Merah, Datuk K. Rajagobal, yang memulihkan prestasinya.

Pengalaman bekerjasama bersama Harimau Muda dan skuad kebangsaan dari 2007 hingga 2013 nyata memberi kelebihan kepada Rajagobal untuk memahami karakter Mahali.

"Memang tidak dinafikan Datuk Rajagobal banyak memberi motivasi kepada saya untuk mengembalikan prestasi.

"Saya perlu bekerja lebih keras lagi untuk meningkatkan prestasi," katanya lagi.

Pengendali Harimau Malaya, Cheng Hoe, bagaimanapun tidak tertekan untuk turun dengan reputasi 10 perlawanan tanpa kemenangan.

"Ini adalah permulaan terbaik untuk pasukan kebangsaan beraksi di peringkat antarabangsa.

"Dalam masa sama, saya enggan terlalu menekan pasukan kerana sudah lama kami tidak dikumpulkan.

"Saya harap pemain-pemain mempamerkan semangat 100 peratus dan fokus terhadap permainan," katanya dalam sidang media rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya, sebentar tadi.

Ketua pasukan, Safiq Rahim, berkata: "Kami tidak boleh memandangkan rendah keupayaan pasukan lawan, tidak kira sama ada ketika di atas atau di bawah.

"Kami perlu menjalankan tanggungjawab dan melaksanakan apa yang dirancang.

"Insya-Allah kami akan melakukan yang terbaik, bermain sebagai sebuah pasukan dan mengikut perancangan yang diterapkan jurulatih."