Real Madrid tetap yakin dengan kemenangan ke atas Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara Eropah walaupun diikat Athletic Bilbao 1-1 dalam LaLiga, menurut Lucas Vazquez.

Cristiano Ronaldo menyelamatkan satu mata ketika tempoh permainan berbaki tiga minit selepas Inaki Williams membuka jaringan untuk Athletic dalam separuh masa pertama di Santiago Bernabeu, awal hari ini.

Skuad Zinedine Zidane itu akan membuat kunjungan ke Allianz Arena dalam tempoh tujuh hari dari sekarang dan pemain antarabangsa Sepanyol, Vazquez, tidak menjangka kekecewaan terbaru Madrid dalam saingan domestik itu memberi kesan ke atas usaha mereka bagi mendapatkan gelaran Eropah ketiga berturut-turut.

"Sudah tentu kami memikirkan perlawanan itu tetapi kami sedikitpun tidak mempunyai keraguan," katanya. "Kami tidak bimbang, kami sangat yakin.

"Kami perlu bekerja sepanjang minggu kerana kami mahu menang di sana, saya rasa kami berada di landasan yang baik."

Raul Garcia hampir-hampir menjaringkan gol kedua Athletic apabila percubaannya terkena palang selepas rehat ketika momentum Madrid makin berkurangan tetapi Vazquez menegaskan bahawa mereka sepatutnya mendapat keputusan lebih baik.

"Ia sememangnya hebat pada hujung perlawanan kerana kami bermain dengan baik dan saya fikir kami menguasai perlawanan ini," tambahnya.

"Mereka bertahan dengan baik, kami mempunyai banyak peluang sepanjang masa dan tidak dapat menemui jaring. Kami agak bergelut pada babak kedua."