Real Madrid menyelar Datuk Bandar Vigo, Abel Caballero, berikutan dakwaannya yang mengatakan peneraju LaLiga itu mengabaikan soal keselamatan.

Pertembungan kedua-dua pasukan pada minggu lalu itu terpaksa ditunda kerana faktor cuaca apabila angin kencang di daerah Galicia itu meranapkan bumbung stadium Celta.

Madrid, yang tetap mahukan perlawanan dilangsungkan, telah menawarkan pelbagai saranan sehingga mengundang rasa tidak senang Caballero.

Bagaimanapun, kelab gergasi Sepanyol itu menegaskan mereka tidak melakukan sebarang kesalahan dan menegaskan tuduhan Caballero itu tidak tepat.

"Real Madrid kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Bandar Vigo, Abel Caballero, berhubung dakwaannya yang menganggap kelab ini mengabaikan soal keselamatan dengan ingin meneruskan perlawanan Celta Vigo dengan Real Madrid," menurut kenyataan rasmi kelab itu.

"Bukan sahaja komen datuk bandar itu tidak tepat, dakwaan mereka juga langsung tidak kena kerana Real Madrid tidak pernah mempersoalkan soal keselamatan di Balaidos.

"Real Madrid ingin menjelaskan, selepas menyedari perlawanan itu berkemungkinan besar ditangguhkan -- yang diketahui 30 jam sebelum sepak mula -- kami telah menawarkan tiga alternatif kepada Liga Bola Sepak Profesional:

"Yang pertama, dengan menggantikan bumbung stadium yang rosak; yang kedua, menutup kawasan yang terjejas; dan ketiga, jika dua cadangan itu mustahil untuk diguna pakai, maka perlawanan itu dilangsung di stadium berdekatan.

"Cadangan itu dibuat bagi mengelak perlawanan daripada ditunda dan seterusnya memberi impak kepada empat kejohanan yang boleh menjejaskan kedua-dua pasukan, selain kerugian besar sumber kewangan yang ditanggung saluran televisyen di seluruh dunia, di mana ia boleh memberi kesan kepada penjualan hak penyiaran di masa hadapan."