Presiden Real Madrid, Florentino Perez, berkata Cristiano Ronaldo tidak pernah meminta untuk meninggalkan juara Sepanyol dan Eropah itu apabila diajukan sama ada pemain terbaik dunia itu berkemungkinan berpindah ke China.

Liga Super China (CSL) muncul destinasi berpotensi buat Ronaldo selepas bekas jurulatih Brazil dan Portugal, Luiz Felipe Scolari, mendedahkan pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or itu sering bertanyakan tentang China.

Ronaldo -- yang meledak 37 gol dalam 35 perlawanan untuk kelab itu pada musim ini --mempunyai kontrak sehingga pertengahan 2021 dan Perez menolak spekulasi bahawa bintang berusia 33 tahun itu akan meninggalkan Santiago Bernabeu.

"Dia tidak minta untuk pergi, dia melanjutkan kontrak di sebalik keputusan kurang memberangsangkan sebelum ini..."

Berkenaan minat daripada CSL -- Scolari yang bertindak sebagai jurulatih juara China, Guangzhou Evergrande Taobao, pada 2015 hingga 2017 -- Perez menambah: "Jika anda mempunyai seorang kawan yang tinggal di Hong Kong, anda pasti bertanyakannya bagaimana keadaannya di Hong Kong, itu normal."

Ronaldo kembali berbisa susulan mencetak empat gol dalam kemenangan 6-3 ke atas Girona dalam LaLiga, Ahad lalu.

Kapten Portugal itu hanya menyumbat empat gol liga menjelang tahun baru, namun kini melanjutkan jaringannya kepada 22 -- dipisahkan dengan tiga gol daripada Lionel Messi yang kini menerajui senarai penjaring LaLiga dengan 25 gol.