LEGANES 1 REAL MADRID 0
(Madrid mara dengan agregat 3-1)

Santiago Solari mengakui Real Madrid sebagai "lemah" dalam kekalahan kepada Leganes biarpun masih layak ke suku akhir Copa del Rey.


Kemenangan 3-0 dalam pertemuan pertama di Madrid bermakna kekalahan 0-1 di Butarque, awal pagi tadi, belum cukup untuk menyingkirkan mereka di pentas kejohanan itu untuk mengorbankan Leganes buat musim kedua berturut-turut.

Solari meletakkan Isco dalam kesebelasan utama yang menyaksikan Marcelo memainkan peranan di bahagian sayap dalam babak pertama, namun Madrid bergelut untuk mencipta peluang.

Solari mengakui kepincangan skuadnya, yang tewas dua daripada empat perlawanan terakhir, untuk menampilkan aksi baik ketika menentang Leganes, yang memenangi pertemuan kedua menerusi jaringan Martin Braithwaite dalam separuh masa pertama.

"Kami menampilkan persembahan yang hambar dalam babak pertama," katanya dalam sidang akhbar.

"Semua pemain perlu diberi peluang, mereka sudah mendapatkannya. Kami berjaya lolos tetapi prestasi pasukan sangat lemah.

"Kadang-kadang kami mencuba sesuatu dan jika ia tidak menjadi, maka kami perlu cuba memperbaikinya.

"Kami tidak mempunyai banyak pilihan pemain. Kami terpaksa membayar harganya, khusus di bahagian serangan," ujarnya.

Madrid turun tanpa Karim Benzema selepas penyerang itu mengatasi kemarau golnya dalam kemenangan 2-1 di Real Betis dalam aksi sebelum ini.

Namun, Solari yakin bahawa bekas pemain antarabangsa Perancis itu dapat diturunkan dalam perlawanan berikutnya di Madrid, iaitu ketika menentang Sevilla, Sabtu ini.

"Jarinya patah," jelas Solari mengenai penyerang itu. "Kami berharap dapat memiliki khidmatnya pada Sabtu ini, Rabu depan dan hujung minggu depan."

Isco beraksi selama 68 minit dalam kesebelasan utama selepas jarang diberi peluang di bawah kendalian Solari, dan pemain perancang itu kemudian digantikan oleh Cristo Gonzalez.

Pemain tengah Sepanyol tersebut menyempurnakan 93 peratus hantarannya tetapi melepaskan peluang terbaik Madrid untuk menyumbat gol dengan percubaan kurang berbahaya.

Solari kerap disoal mengenai tahap keyakinannya terhadap Isco tetapi dia sekali lagi mengelak untuk membincangkannya.

"Tiada masalah, sama sekali tidak," kata Solari mengenai Isco.