Alvaro Morata dan Manchester United sedang menunggu keputusan Real Madrid sama ada mahu menjual penyerang itu, menurut pengesahan ejennya, Juanma Lopez.

United kerap dikaitkan dengan pemain antarabangsa Sepanyol itu dan dilaporkan tawaran €60 juta (RM286 juta) ditolak minggu lalu, dengan skuad Jose Mourinho dikatakan merancang untuk membuat tawaran baru.

Morata menghangatkan spekulasi bahawa dia mungkin menyertai United dengan menekan 'like' pada satu catatan dalam Instagram mengenai perpindahan ke sana, dengan Lopez mengakui pilihan Old Trafford adalah menarik untuk pemain itu.

"Manchester United? Mereka adalah kelab yang glamor, pilihan yang sangat menarik," kata Lopez kepada calciomercato.com.

"Saya boleh katakan bahawa cadangan mereka adalah sangat-sangat penting dan kini keputusan adalah terletak kepada Madrid. Saya tidak boleh kata (jika perjanjian selesai tidak lama lagi) -- kita akan lihat."

AC Milan juga berminat dengan Morata, dengan Lopez mendedahkan tawaran itu muncul sekejap sebelum mereka kemudian memilih penyerang Porto, Andre Silva.

"Ya, kami kerap dihubungi sehingga beberapa hari lalu -- saya boleh sahkan perkara itu," kata wakil Morata ini.

"Secara ringkasnya, Real Madrid menganggap tawaran skuad Rossoneri itu tidak memuaskan."

Morata hanya memulakan 14 perlawanan LaLiga musim lalu, dengan Lopez mendedahkan minggu lepas bahawa pelanggannya itu mahu mencari situasi di mana dia akan memainkan peranan lebih besar.