Penyerang Borussia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang, mendedahkan bahawa impian untuk menyertai Real Madrid tidak lagi berada dalam perancangannya.

Aubameyang sebelum ini dilaporkan bertemu dengan presiden Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi, namun pertukaran jawatan pengarah sukan di PSG menamatkan spekulasi tersebut.

Dia menarik perhatian beberapa kelab lain seperti Tianjin Quanjian dan AC Milan tetapi penyerang Gabon itu sebelum ini berulang kali mengatakan bahawa dia berkeinginan tinggi untuk menyertai Madrid.

Namun, selepas mengadakan perbincangan antara kedua-dua pasukan, Aubameyang terpaksa akur dengan keputusan yang dilakukan.

"Saya tidak lagi mengimpikannya. Saya tidak perlu bercakap tentang Real Madrid. Mereka tidak mahukan saya. Ia bukan satu masalah. Saya tidak kisah dan saya berasa bagus di Dortmund," kata Aubameyang.

"Saya rasa mereka tidak mahu berusaha lebih untuk mendapatkan saya. Saya agak kecewa. Kami mempunyai perjanjian dengan Dortmund untuk membolehkan saya berpindah, malangnya ia tidak berlaku. Saya kecewa tetapi dalam masa sama gembira dapat kekal di sini."

Selepas kehadiran Neymar dan Kylian Mbappe di PSG, ternyata Aubameyang bukan satu pilihan untuk membawanya keluar dari Dortmund.

"Saya ada bertemu Nasser pada Jun dan segala-galanya bagus sehingga Antero Henrique (pengarah sukan baru) dilantik dan PSG membuat keputusan untuk tidak mendapatkan saya."