James Maddison akan kekal di Leicester City selepas jendela perpindahan bulan ini tatkala pihak kelab tidak perlu menjualnya, kata pengurus pasukan, Brendan Rodgers.

Perancang tengah itu dilaporkan menjadi buruan Manchester United sambil The Mirror melaporkan mereka bersedia menawarkan GBP45 juta (RM242 juta) berserta Jesse Lingard untuk mendapatkan pemain England itu.

Rodgers sentiasa menegaskan dia tidak bercadang melepaskan pemain utama bulan ini dan pendekatan sama turut dilakukan dengan Maddison.

Malah, pengurs itu mendedahkan pemain berusia 23 tahun itu kini sedang dalam perbincangan kontrak baru bersama The Foxes yang tidak berdepan masalah untuk melaburkan wang susulan penjualan Harry Maguire ke United bernilai GBP80 juta (RM431 juta).

"Tiada tekanan untuk jual dan tidak perlu jual," kata Rodgers.

"Maddison adalah pemain berbakat dan dia akan berada di sini bulan ini dan seterusnya.

"Dia adalah pemain yang kami ingin kekalkan di sini dan membantu dalam cabaran kami di masa akan datang. Dia dan wakilnya kini berbincang dengan kelab dan ia memerlukan masa.

"Kami mahu menambah ke dalam skuad jika mampu. Ia bergantung kepada kesediaan. Kami mempunyai skuad yang ampuh dan ramai dalam kalangan mereka yang masih muda.

"Kami mahu dapatkan pemain baru tetapi jika tidak, kami akan teruskan cabaran dengan pasukan sedia ada sambil merancang untuk perubahan pada musim panas depan."


Editor: Nafis Abdullah