Penolong jurulatih Kelantan, Sathit Bensoh, memohon maaf kepada seluruh penyokong Kelantan akibat kekalahan kali ketiga berturut-turut di gelanggang sendiri dalam saingan menentang Selangor di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

“Saya mohon maaf atas kekalahan (kepada Selangor) dan tidak tahu untuk menjelaskan bagaimana perasaan ketika ini.

"Terlalu banyak kesilapan yang dilakukan oleh pemain yang menjejaskan prestasi pasukan. Kami turun untuk menang tetapi banyak melakukan kesilapan.

“Biarpun dalam babak kedua kami lebih agresif dan cuba mencari jaringan, malangnya pasukan Selangor kental bertahan dan akhirnya kami kecewa lagi biarpun rombakan pemain telah dilakukan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Sathit juga beranggapan tiada keperluan untuk menekan ‘butang panik’ sebaliknya pemain TRW perlu terus diberi motivasi untuk bangkit semula selepas mengalami kekalahan demi kekalahan.

“Belum masanya untuk menekan butang panik, sebaliknya pemain perlu diberi lebih motivasi supaya cepat bangkit melupakan kekalahan di gelanggang sendiri.

"Kami masih ada masa dan hanya kemenangan mampu menyuntik kembali semangat pemain untuk perlawanan berikutnya,” katanya.

Dalam saingan semalam, The Red Giants berjaya mendapatkan gol awal melalui penyerang import dari Timor-Leste, Juliano Mineiro, seawal minit keempat hasil sepakan leret yang menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Kelantan cuba mencari gol penyamaan tetapi benteng pertahanan Selangor yang diketuai kapten, Mohd Razman Roslan, kental bertahan.

Selangor mengesahkan kemenangan mutlak apabila pada minit ke-63, Juliano Mineiro sekali lagi menghukum benteng TRW melalui sepakan kencang untuk gol kedua Red Giants.

Kekalahan kepada Selangor menempatkan TRW di tangga ke-10 Liga Super dengan enam mata hasil daripada dua perlawanan awal di gelanggang lawan.