Moussa Dembele telah menjadi sasaran jendela perpindahan tetapi penyerang itu tidak akan meninggalkan Olympique Lyon, kata presiden kelab itu, Jean-Michel Aulas.

Chelsea dilaporkan berminat untuk membawa masuk pemain berusia 23 tahun itu -- yang telah menjaringkan 10 gol hasil daripada 18 penampilan dalam Ligue 1 musim ini -- dan Frank Lampard kini mencari penggempur untuk bersaing dengan Tammy Abraham.

The Blues juga dilaporkan bercadang untuk mengemukakan tawaran yuran perpindahan berserta Olivier Giroud untuk menarik minat Lyon dalam jendela perpindahan.

Namun, walaupun Aulas berkata tawaran telah diberikan kepada beberapa pemain utama Lyon, dia menegaskan Dembele mahu kekal bersama kelab itu sekurang-kurangnya buat masa ini.

"Dembele tidak akan keluar kerana dia mahu kekal dan memenangi sesuatu bersama Lyon," katanya.

"Terdapat tawaran untuknya dan beberapa pemain lain tetapi tiada antara mereka yang akan meninggalkan pasukan bulan ini."

Malah, Aulas berkata Lyon bercadang untuk menambah kekuatan pasukannya dan mencabar slot Liga Juara-Juara Eropah tatkala mereka kini menduduki tangga ke-12 selepas 19 perlawanan.

"Kami akan cuba untuk memperkuatkan pasukan," tambahnya.

"Reaksi pertama kami adalah cuba memberikan lebih banyak waktu beraksi buat pemain daripada akademi. Langkah kedua adalah mendapatkan pemain baru.

"Pihak pengurusan tertinggi kelab membuat keputusan itu tetapi tiada sebarang kos atau situasi terlibat. Kami hanya mengusahakan perancangan yang telah dimahukan pengarah sukan, penasihat dan jurulatih."



Editor: Nafis Abdullah