Kekalahan dalam aksi pertama Liga Perdana , Jumaat lalu, tidak mematahkan semangat Sabah untuk bangkit memburu kemenangan apabila turun menentang Kuala Lumpur di Stadium Likas, malam esok.

Jurulatihnya, Steve Vilmiaire, berkata beliau mahu kesemua pemainnya melupakan 'mimpi ngeri' ketika ditumbangkan Negeri Sembilan 0-3 di Paroi.

"Di sebalik kekalahan kepada Negeri Sembilan, kami mempelajari banyak perkara, termasuk kekuatan dan kelemahan kami.

"Babak pertama (dalam perlawanan itu) seperti satu mimpi ngeri apabila kami dibolosi tiga kali," katanya dalam sidang media di pejabat Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), hari ini.

Vilmiaire berkata beliau mungkin melakukan sedikit perubahan terhadap taktikal pasukannya dalam perlawanan malam esok.

"Ya, sudah pasti saya akan melakukan sedikit perubahan, mungkin dalam kesebelasan utama dan taktikal. Kami harapkan pemain-pemain akan lebih fokus malam esok," katanya.

Sementara itu, beliau berkata penyerang import pasukan, Sofiane Choubani, sekali lagi akan direhatkan kerana masih belum pulih daripada kecederaan.

"Kecederaan Sofiane (Choubani) tidaklah begitu serius. Dia mengalami kecederaan pada kuku ibu jari kakinya.

"Bagaimanapun, kami tidak mahu mengambil risiko untuk menurunkannya kerana musim masih panjang. Kami mahu dia benar-benar pulih, barulah kami akan benarkan dia beraksi," katanya.