Pengendali Sabah, Jelius Ating, mengakui kekalahan besar kepada Perak dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia musim lalu sebagai salah satu kenangan pahit dalam karier bola sepaknya.

Bagaimanapun, 'mimpi ngeri' dibelasah 0-5 dalam pertemuan di Stadium Perak, Ipoh itu harus dilupakan segera dan perlu ditebus dengan keputusan baik apabila kedua-dua pasukan itu sekali lagi bertemu di gelanggang sama dalam aksi pertama mereka dalam Kumpulan C, esok.

"Memang perlawanan itu (bertemu Perak musim lalu) satu kenangan pahit kepada pasukan tapi itulah Piala Malaysia dan itulah bola sepak, apa pun boleh berlaku.

"Kadang-kadang pasukan pilihan pun boleh ditumbangkan oleh pasukan bukan pilihan dan itulah yang kami harapkan apabila bertemu Perak," katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di Stadium Likas, hari ini.

Jelius berkata skuad Tambadau yang juga juara Liga Perdana musim ini telah melakukan persiapan rapi bagi menghadapi Piala Malaysia dan berharap mereka akan mencatat keputusan baik dalam aksi pembukaan bertemu The Bos Gaurus walaupun mengakui ia satu tugas sukar.

"Kami telah membuat persiapan sejurus saingan Liga Perdana berakhir. Selain sesi latihan, kami juga mengadakan dua perlawanan persahabatan, kami sudah bersiap sedia untuk kempen Piala Malaysia kali ini dan kami harap akan mampu memberi saingan sengit.

"Kami juga telah melihat permainan Perak ketika mereka beraksi di pentas final Piala FA bertemu Kedah, mereka sebuah pasukan yang kuat dan kami menghormati mereka," katanya.

Sabah dijangka akan turun dengan kesebelasan terbaik mereka apabila kesemua pemain kini bebas daripada kecederaan dan penggantungan perlawanan.

Rozaimie Rohim dijangka kekal sebagai benteng terakhir Tambadau dengan dibantu empat pertahanan, iaitu ketua pasukan, Rawilson Batuil, Park Taesu, Randy Samson Baruh serta Evan Wensley Wenceslaus.

Ahmet Atayev pula dijangka terus mengemudi bahagian tengah sambil dibantu Mohd Azzizan Nordin, Alto Linus serta Jenius Karib manakala dua penyerang import, Rodoljub Paunovic dan Aguinaldo Mendes Veiga, kekal sebagai pemburu jaringan buat Sabah.