Dua pasukan dari negeri yang sama tersingkir daripada saingan Piala FA malam tadi -- finalis tahun lalu, PKNS FC, tewas 0-1 kepada Melaka United, sambil abangnya, Selangor, tewas 3-4 menerusi sepakan penalti kepada pasukan Liga Perdana, Negeri Sembilan.

Jurulatih Selangor, P. Maniam, tidak menyalahkan anak buahnya dalam perlawanan itu tetapi menegaskan tanggungjawab skuad Merah Kuning lebih terarah kepada aksi Liga Super.

Katanya, Selangor tetap memberikan persembahan terbaik di Stadium Selayang malam tadi walaupun pengakhiran tidak memihak kepada mereka.

Reaksi Maniam lebih menggambarkan Piala FA bukan dalam sasaran Selangor musim ini, sebaliknya jurulatih itu lebih mengutamakan aksi Liga Super bertemu Felda United di Jengka, Sabtu ini.

"Kami perlu menerima kekalahan ini dan bersedia untuk perlawanan akan datang. Perlawanan akan datang ini adalah lebih penting, yang memerlukan lebih fokus untuk mendapatkan gol," katanya.

Bagaimanapun, kapten Negeri Sembilan, Nasroq Baharom, mengakui memiliki perasaan bercampur-baur selepas menewaskan pasukan negeri kelahirannya.

Selangor juga merupakan pasukan pertama ketika Nasroq memulakan karier pada 2005 sebelum diserapkan ke pasukan utama, tiga tahun kemudian.

"Lama saya bermain di Selangor dan sebenarnya saya berasa terkilan. Tetapi apa boleh buat, ini dalam padang dan kami perlu berjuang untuk kebaikan pasukan masing-masing," katanya.

Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, Asri Ninggal, berkata: "Apa yang bagus mengenai Negeri Sembilan adalah semangat berpasukan yang begitu tinggi. Kami berjuang hingga ke minit-minit terakhir."

Kali terakhir Selangor mara ke suku akhir Piala FA ialah pada 2013, dengan kekalahan itu menyaksikan mereka meneruskan kemarau Piala FA buat tahun kelapan berturut-turut.

Sementara itu, jurulatih PKNS, E. Elavarasan, terpaksa menerima hakikat tersingkir lebih awal pada edisi kali ini.

PKNS turut gagal mengulangi pencapaian musim lalu selaku naib juara.