Paul Pogba belum pasti diturunkan Manchester United dalam aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Reading malam ini tetapi Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez akan membarisi kesebelasan utama selepas disahkan oleh pengendali, Ole Gunnar Solskjaer.

Bintang Perancis itu mengalami kecederaan ketika mencatat kemenangan 2-0 ke atas Newcastle United, Rabu lalu, setelah diterjah oleh Jonjo Shelvey.

Pogba mungkin diketepikan dalam aksi di Old Trafford malam ini bersama Chris Smalling dan Marcos Rojo tetapi Solskjaer merancang untuk menurunkan Lukaku dan Sanchez.

"Rojo dan Smalling terpaksa diketepikan," kata Solskjaer.

"Saya tidak pasti sama ada Pogba bersedia. Dia mengalami kecederaan ketika berdepan Newcastle. Diharapkan Marouane Fellaini akan menjalani latihan penuh untuk melengkapkan skuad.

"Beberapa pertukaran akan dilakukan dan pemain akan meraih peluang. Sebahagian daripada mereka inginkan waktu beraksi. Kami akan menurunkan Lukaku dan Sanchez. Ia penting buat mereka kerana kedua-duanya memerlukan tempoh bermain."

United dijangka mencatat kemenangan mudah berdepan Reading yang kini menduduki tangga ke-23 Liga Kejuaraan dan Solskjaer mengakui sasaran yang diletakkan, melangkah sekurang-kurangnya ke final sebagai menyamai pencapaian musim lalu di mana mereka tewas 1-0 di tangan Chelsea di Wembley.

"Tidak kira apa kejohanan yang anda sertai, kemenangan pasti dituntut apabila anda berada di kelab seperti United," tambah Solskjaer.

"Saya tidak pasti jika anda menjangkakan kemenangan tetapi itulah sasaran yang diletakkan dalam pasukan ini."