Romelu Lukaku percaya ritual berlutut sebelum perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah hilang keberkesanannya dalam mengubati masalah perkauman dalam sukan bola sepak sambil berharap syarikat media sosial dapat memainkan lebih peranan dalam memerangi gejala berkenaan di internet.

Terdahulu, pertahanan sayap Chelsea, Marcos Alonso, mendedahkan bahawa dia mungkin tidak lagi akan berlutut sebelum perlawanan, di mana pemain kebangsaan Sepanyol itu berkata gerak tubuh seperti itu "sudah mula tidak berkesan".

Pemain dalam EPL mula berlutut sebelum perlawanan sebagai tanda memerangi masalah perkauman sejak Jun tahun lalu tetapi beberapa pemain, Wilfiried Zaha sebagai contoh, sudah mula memilih untuk tidak melakukan perkara itu walaupun majoriti pemain dan pasukan dalam liga berkenaan masih melakukannya.

Bagaimanapun, Lukaku -- yang menjadi mangsa ejekan perkauman sewaktu mewakili Inter dalam Serie A --kini menyertai rakan sepasukannya, Alonso, dalam mempertikaikan keberkesanan isyarat itu.

Dia berkata kepada CNN: "Saya fikir kita boleh mengambil langkah yang lebih berkesan secara amnya.

"Benar, kita berlutut, tetapi pada akhirnya, semua orang bertepuk tangan tetapi selepas tamat perlawanan, anda akan melihat satu lagi ejekan."

Tambah Lukaku, petugas media sosial juga perlu memainkan peranan dalam mengatasi kebencian itu di internet.

"Kapten bagi setiap pasukan dan empat atau lima pemain, seperti mereka yang merupakan personaliti besar bagi setiap pasukan, perlu mengadakan mesyuarat dengan CEO (ketua pegawai eksekutif) Instagram, kerajaan, FA dan PFA, dan kami sepatutnya duduk berbincang dalam satu mesyuarat besar mengenainya.

"Saya perlu memperjuangkannya kerana saya bukan sahaja berjuang untuk diri saya tetapi saya juga berjuang untuk anak saya, masa depan anak-nak saya, untuk adik-beradik saya, untuk semua pemain lain dan anak-anak mereka, untuk semua orang.

"Pada akhirnya, bola sepak sepatutnya satu sukan untuk dinikmati. Anda tidak boleh membunuh sukan ini dengan diskriminasi. Ia tudak sepatutnya berlaku," tambahnya.